Tuesday, November 15, 2016

#CBVM16


Jujur kukatakan mulanya
Aku di sana hanya pada nama
Mengejar cita-cita
Untuk mencari pengalaman berharga
Tetapi semuanya tidak semudah yang kujangka
Pasti ada ujianNya menduga

Perubahan silih berganti
Tuntutan kerja semakin meninggi
Kalau tak kuat hati
Sedari awal menyerah diri untuk berhenti
Tetapi susah senang yang diharungi bersama itulah yang amat kami rindui

Pertama kali berjumpa
Pelbagai persepsi menerpa di minda
Ada yang kukatakan “Oh, pendiam rupanya”
Ada yang kulihat “Eh, classmate lama”
Kuharap ketika melihatku mereka tidak berkata
“Dia garang macam singa”

Amat susah untuk berhenti
Mengulang tayang segala memori
Titik noktah seperti tidak kutemui
Biarkan sahaja begini
Suatu hari nanti
Ada masa aku akan mencari
Cebisan kisah kami
Untuk kujadikan rujukan diri

Kata-kata untukmu?
Biar kusimpan di qalbu
Jika dihuraikan satu per satu
Mana pernah mampu
Menggambarkan keseluruhan isi hatiku

Tahu kenapa jiwa kita masih terikat?
Sentiasa terasa dekat?
Kerana kita sama-sama memikul berat
Dalam setiap gurauan terselit hormat
Walaupun dituntut untuk sentiasa cepat
Dengan berbekalkan doa dan semangat
Kita tetap berjaya tiba ke garisan penamat

-nfd, 10.38pm, 14/11/2016-

Terima kasih kepada semua 51 orang komiti Exhibition: Career Vaganza & Book Mania, semoga ada rezeki untuk kita bertemu lagi.. =)

Wednesday, April 6, 2016

Mencari


"Doakan"
Itu kata-kataku
Menutup resah
Yang sentiasa mencuba
Untuk memperbaiki diri

"Aku belum cukup baik"
Bukan bermakna aku tidak mencari
Usaha tak henti
Membina taburan budi
Menyemai akhlak di hati

"Belum"
Aku jujur
Kututup rasa dengan tanggungjawab
Masih berat bahuku
Masih lemah langkahku
Maka kukatakan pada diri
'Sudah, berhenti
Meski bicaramu lahir dari hati
Tetapi mohon engkau sudahi
Dengan usaha berkali-kali
Doa yang tak henti
Meletak sepenuh pengharapan pada Ilahi'
-NFD, 6 April 2016-

Friday, May 29, 2015

Kebaikan Dibalas Dengan Kebaikan


Setiap kali berkunjung ke sebuah pasar, ibu saya akan membeli rempah-ratus dan bahan-bahan masakan yang lain dari sebuah gerai yang sama, ya, hampir setiap kali kunjungannya bermula atau berakhir di gerai tersebut.

Pabila diperhatikan, penjual di gerai tersebut gemar memberikan barangan percuma kepada para pembeli. Sebagai contoh, jika ibu saya membeli kacang tanah bungkusan besar (1kg), makcik tersebut akan memberi sebungkus sederhana kacang yang beratnya separuh daripada bungkusan yang dibeli oleh ibu saya, maka untuk hari itu, ibu memperolehi 1.5kg kacang tanah dengan harga 1kg. Paling kurang pun pemilik gerai tersebut akan memberi sebungkus dua kari atau beberapa ulas bawang. Begitulah rutin harian mereka, pembeli sentiasa mendapat barangan percuma, penjual pula mendapat pembeli baharu dan yang setia dari dulu.

Suatu hari, ketika itu saya dengan semangat berkobar-kobar ingin membuat kuih raya mencadangkan agar kami membeli kacang dari makcik tersebut. Walau bagaimanapun, hari itu hanya anaknya yang ada di sana, sekilo kacang yang dibeli pula tidak bertambah beratnya. Lantas saya memberitahu ibu saya, "Mom, kedekut ya anak makcik ni."

Dengan pantas ibu saya berkata "Kak, slow sikit suara tu", walhal saya rasa kami sudah jauh melewati gerai tersebut.

Saya masih tidak puas hati, setibanya kami ke dalam kereta, saya mengulang ayat yang sama, ya, dengan harapan kali ini ayah saya menyokong saya.
S: Mom, kedekut anak makcik tu

I: Tak baik cakap macam tu. Diorang pun cari rezeki juga.

S: Hish, makin kuranglah pembelinya tu nanti.

I: Jadi akak nak beli kat sana sebab mau barang free ja?

S: Nda la, kan mamanya selalu bagi barang free, tu la geram anaknya nda bagi, nanti pembeli lari.

I: Kak, orang datang balik bukan sebab mau free, tapi sebab kebaikan dorang tu.

S: Urm.. Ya la..

A: ..... (meneruskan pemanduan dengan berhati-hati, jika laju nescaya diberikan peringatan oleh ibu)

* S: Saya, I: Ibu (saya panggil Mom), A: ayah (saya panggil babah)
** Nda: Tidak, Mau: Mahu

Itulah family saya. Hanya satu ayat mampu mematahkan hujah saya. Ya, ayat yang perlu dicerna sebaiknya sebelum membuat sebarang konklusi.

Ya, mungkin anak penjual tersebut tidak mengetahui ataupun ingin meningkatkan keuntungan mereka pada hari tersebut, tetapi disebabkan kebaikan ibunya, para pembeli tidak putus datang membeli barangan mereka.

Kenapa? Mengapa?

Sebab secara semulajadi kita akan menyukai orang yang berbuat kebaikan kepada kita. Maka jangan hairanlah konklusi singkat seorang cik fitri pada awalnya tidak diterima untuk kes ini.

Hal ini demikian kerana....

Kebaikan itu ada kalanya tidak perlu dikongsi
Menceritakannya hanya untuk dipuji
Akan membuat si pelaku bangga diri

Kebaikan itu jika diberi dengan seikhlas hati
Ia akan menyentuh sanubari
Menyingkap kebaikan yang engkau miliki
Mencari ruang untuk membalasnya di kemudian hari