Tuesday, November 15, 2016

#CBVM16


Jujur kukatakan mulanya
Aku di sana hanya pada nama
Mengejar cita-cita
Untuk mencari pengalaman berharga
Tetapi semuanya tidak semudah yang kujangka
Pasti ada ujianNya menduga

Perubahan silih berganti
Tuntutan kerja semakin meninggi
Kalau tak kuat hati
Sedari awal menyerah diri untuk berhenti
Tetapi susah senang yang diharungi bersama itulah yang amat kami rindui

Pertama kali berjumpa
Pelbagai persepsi menerpa di minda
Ada yang kukatakan “Oh, pendiam rupanya”
Ada yang kulihat “Eh, classmate lama”
Kuharap ketika melihatku mereka tidak berkata
“Dia garang macam singa”

Amat susah untuk berhenti
Mengulang tayang segala memori
Titik noktah seperti tidak kutemui
Biarkan sahaja begini
Suatu hari nanti
Ada masa aku akan mencari
Cebisan kisah kami
Untuk kujadikan rujukan diri

Kata-kata untukmu?
Biar kusimpan di qalbu
Jika dihuraikan satu per satu
Mana pernah mampu
Menggambarkan keseluruhan isi hatiku

Tahu kenapa jiwa kita masih terikat?
Sentiasa terasa dekat?
Kerana kita sama-sama memikul berat
Dalam setiap gurauan terselit hormat
Walaupun dituntut untuk sentiasa cepat
Dengan berbekalkan doa dan semangat
Kita tetap berjaya tiba ke garisan penamat

-nfd, 10.38pm, 14/11/2016-

Terima kasih kepada semua 51 orang komiti Exhibition: Career Vaganza & Book Mania, semoga ada rezeki untuk kita bertemu lagi.. =)

Wednesday, April 6, 2016

Mencari


"Doakan"
Itu kata-kataku
Menutup resah
Yang sentiasa mencuba
Untuk memperbaiki diri

"Aku belum cukup baik"
Bukan bermakna aku tidak mencari
Usaha tak henti
Membina taburan budi
Menyemai akhlak di hati

"Belum"
Aku jujur
Kututup rasa dengan tanggungjawab
Masih berat bahuku
Masih lemah langkahku
Maka kukatakan pada diri
'Sudah, berhenti
Meski bicaramu lahir dari hati
Tetapi mohon engkau sudahi
Dengan usaha berkali-kali
Doa yang tak henti
Meletak sepenuh pengharapan pada Ilahi'
-NFD, 6 April 2016-

Friday, May 29, 2015

Kebaikan Dibalas Dengan Kebaikan


Setiap kali berkunjung ke sebuah pasar, ibu saya akan membeli rempah-ratus dan bahan-bahan masakan yang lain dari sebuah gerai yang sama, ya, hampir setiap kali kunjungannya bermula atau berakhir di gerai tersebut.

Pabila diperhatikan, penjual di gerai tersebut gemar memberikan barangan percuma kepada para pembeli. Sebagai contoh, jika ibu saya membeli kacang tanah bungkusan besar (1kg), makcik tersebut akan memberi sebungkus sederhana kacang yang beratnya separuh daripada bungkusan yang dibeli oleh ibu saya, maka untuk hari itu, ibu memperolehi 1.5kg kacang tanah dengan harga 1kg. Paling kurang pun pemilik gerai tersebut akan memberi sebungkus dua kari atau beberapa ulas bawang. Begitulah rutin harian mereka, pembeli sentiasa mendapat barangan percuma, penjual pula mendapat pembeli baharu dan yang setia dari dulu.

Suatu hari, ketika itu saya dengan semangat berkobar-kobar ingin membuat kuih raya mencadangkan agar kami membeli kacang dari makcik tersebut. Walau bagaimanapun, hari itu hanya anaknya yang ada di sana, sekilo kacang yang dibeli pula tidak bertambah beratnya. Lantas saya memberitahu ibu saya, "Mom, kedekut ya anak makcik ni."

Dengan pantas ibu saya berkata "Kak, slow sikit suara tu", walhal saya rasa kami sudah jauh melewati gerai tersebut.

Saya masih tidak puas hati, setibanya kami ke dalam kereta, saya mengulang ayat yang sama, ya, dengan harapan kali ini ayah saya menyokong saya.
S: Mom, kedekut anak makcik tu

I: Tak baik cakap macam tu. Diorang pun cari rezeki juga.

S: Hish, makin kuranglah pembelinya tu nanti.

I: Jadi akak nak beli kat sana sebab mau barang free ja?

S: Nda la, kan mamanya selalu bagi barang free, tu la geram anaknya nda bagi, nanti pembeli lari.

I: Kak, orang datang balik bukan sebab mau free, tapi sebab kebaikan dorang tu.

S: Urm.. Ya la..

A: ..... (meneruskan pemanduan dengan berhati-hati, jika laju nescaya diberikan peringatan oleh ibu)

* S: Saya, I: Ibu (saya panggil Mom), A: ayah (saya panggil babah)
** Nda: Tidak, Mau: Mahu

Itulah family saya. Hanya satu ayat mampu mematahkan hujah saya. Ya, ayat yang perlu dicerna sebaiknya sebelum membuat sebarang konklusi.

Ya, mungkin anak penjual tersebut tidak mengetahui ataupun ingin meningkatkan keuntungan mereka pada hari tersebut, tetapi disebabkan kebaikan ibunya, para pembeli tidak putus datang membeli barangan mereka.

Kenapa? Mengapa?

Sebab secara semulajadi kita akan menyukai orang yang berbuat kebaikan kepada kita. Maka jangan hairanlah konklusi singkat seorang cik fitri pada awalnya tidak diterima untuk kes ini.

Hal ini demikian kerana....

Kebaikan itu ada kalanya tidak perlu dikongsi
Menceritakannya hanya untuk dipuji
Akan membuat si pelaku bangga diri

Kebaikan itu jika diberi dengan seikhlas hati
Ia akan menyentuh sanubari
Menyingkap kebaikan yang engkau miliki
Mencari ruang untuk membalasnya di kemudian hari



Friday, February 27, 2015

Waktu


Pepatah Arab ada menyatakan "Masa ibarat pedang! Jika kita tidak menggunakannya untuk memotong, ia akan memotong kita." Andai kita bijak mengawalnya, maka penuhlah saat-saat kita dengan aktiviti-aktiviti berfaedah, jika sebaliknya, masa akan membuatkan kita merasa sesal, masa yang nyata tidak mampu untuk diundur semula.

Serius bila dah lama tak menaip kat blog ni terasa kaku jari-jemari, beku idea yang dicari.

Masih mencari rentak untuk menyesuaikan diri, masih dengan semangat yang sama iaitu mengisi masa-masa yang ada dengan program itu ini, tetapi kali ini focus bukan lagi sebagai participant tetapi sebagai sub committee; mula dari bawah baru kita mampu melangkah ke tangga yang tinggi.

Tanggungjawab kian berat, tetapi sekali ikrar termeterai, bermulalah tanggungjawab yang bukan secara paksa rela diberi tetapi secara ikhlas dipersetujui.

'Nda apa' orang Sabah bilang (kata), ini mungkin permulaan untuk tahun ini, selepas ni mungkin lebih banyak idea untuk diisi.

Be Yourself, Be Positive, Be Realistic

Wassalam

Friday, October 31, 2014

Monolog Untuk Sahabat



Tinggi atau rendah
Jika hati sudah kata ‘ya’
Semuanya bukan lagi suatu masalah
Kekuatan hati digenggam sentiasa
Agar hati tidak mudah resah
Agar hati kenal erti bahagia dan makna kecewa


Bukan semua memahami diri kita
Bukan bermakna kita harus akur pada mereka
Tetapi ini ialah petanda
Bahawa hati manusia itu berbeza
Akal manusia mencerna segalanya 
Mengikut apa yang mereka ingin rasa
Berdasarkan apa yang mereka mahu percaya


Kita sering berdepan dengan pilihan
Yang ada kalanya menuntut kita untuk berkorban
Dan juga belajar untuk melepaskan
Kegembiraan yang dicari oleh setiap insan
Tetapi di setiap kegembiraan akan ada kesedihan
Yang sering kali tidak mampu untuk diluahkan


Berhenti mengulang tayang ceritera lama
Semua itu hanyalah sebuah sejarah
Yang kekal menjadi memori
Dari lubuk hati ia menjelma
Tetapi ia telah berlalu
Dan kekal menjadi sebuah sejarah
Yang tidak akan berulang kembali
Sehingga akhir nanti


Bukan semua rasa itu layak dilayarkan
Tidak bermakna diam
itu tanda tiada
Kerana hormat kutitipkan pesanan ini
Kerana kenal kususun mengikut kata hati
Kerana faham kucoretkan pesanan tanpa henti
Kerana percaya kuhayunkan pena ilusi
Agar engkau mengerti
Segala yang kulakukan saat ini
Titipan rasa seorang sahabat sejati
Cebisan rasa seorang teman yang tidak mampu berjanji
Untuk sentiasa ada di sisi
Tetapi akan sentiasa menjadi pemerhati

-NFD@FitriFie, 27/10/2014, 1.42 am-
 


Tuesday, August 26, 2014

Misteri; Bukan Mistik


Title siap ada unsur-unsur suspen bagai.. Unsolved mysteries ye cik fitri? Buat masa ni encik conan tidak terlibat secara langsung tetapi misteri ini telah diselesaikan. Baiklah, jangan buang masa, meh layan cik akak ni nak cerita bedtime story ni (walaupun bukan pada waktu malam).

Al-kisahnya masa cik fitri kecil dulu ada pelbagai cerita mistik yang menjadi halwa telinganya. Kampung saya tak la kuno sangat, ramai juga anak-anak muda yang berpendidikan dan bekerja, golongan nenek-nenek atuk-atuk pun ramai pesara kerajaan, tetapi cerita-cerita mistik masih terus tersebar meluas.

Kat negeri saya ni penduduk setiap kampung berbilang kaum dan agama, jadi kepercayaan masing-masing berbeza. Pernah ada satu tempoh masa tu orang-orang kat daerah mak ayah saya panggil 'musim panas.'

Time tu memang segala aktiviti pada waktu malam dihentikan; atas alasan malam ialah waktu mereka 'bersiar-siar.'

So creepy kan?

Dijadikan cerita, pernah sekali penduduk kampung gempar sebab ada dua-tiga rumah yang tinggal berjiran telah kehilangan (mati) ayam dengan cara yang paling sadis sekali; ada yang hilang kepala, perut terburai, dan bermacam-macam lagi.

Waktu tu memang semua orang tak berani nak keluar rumah pada waktu malam, anak-anak kecil dimomokkan dengan pelbagai cerita klasik dahulu kala agar mereka tidak berkeliaran selepas maghrib.

Perkara tersebut berlaku selama seminggu, hampir setiap malam ayam-ayam peliharaan mereka menerima nasib yang sama. Penduduk kampung mula tertanya-tanya apa angkara kejadian tersebut, kalau makluk-yang-tidak-perlu-dinyatakan-namanya (cehh, tiru Harry Potter, haha), jenis yang mana satu yang sedang menghantui kampung tersebut.

Walau bagaimanapun, misteri tersebut terungkai di suatu petang yang hening. Petang itu ayam-ayam berkokok dengan bingit sekali. Seperti biasa, ayam akan berkokok panjang jika terasa sesuatu yang mengganggu mereka.Dari kejauhan kelihatan tompokan darah ayam terpalit di rumput dan tanah. Ada seorang pakcik mengambil keputusan untuk menggagahkan dirinya menjejaki 'benda' tersebut berdasarkan tompokan darah yang ada. Menurut pakcik tersebut walaupun dia seorang yang berani, dia tiba-tiba terasa takut apabila terdengar bunyi dengusan di sebalik belukar di hadapannya.

Waktu itu dia tertanya-tanya, "Kalau hantu, apa hantunya yang ada di siang hari?"

Mujur dia tidak pengsan di situ. Belukar yang tenang tadi mulai mendebarkannya apabila 'benda' itu seakan tahu kehadirannya dan cuba untuk melarikan diri. Tiba-tiba pakcik tersebut terlihat kelibatnya. Ya, ia juga makhluk Allah.

'Benda' yang selama ini telah membunuh ayam-ayam di kawasan kejiranan tersebut dan telah menimbulkan huru-hara sebenarnya ialah seekor biawak komodo.

Phewww...

Nak masukkan gambar biawak komodo tadi tetapi cik fitri geli, sekali pandang sebijik macam buaya kot

Kalau nak tahu biodata haiwan tersebut boleh la cari sendiri ye, tetapi haiwan tersebut sememangnya merbahaya untuk haiwan peliharaan kita atas sifat karnivornya, walau bagaimanapun tidak perlu risau kerana setakat ini haiwan tersebut takut terhadap manusia, tak tahu la pula kalau ada kes terpencil melibatkan serangan terhadap manusia, huhu..

Tu baru misteri kematian ayam, belum lagi masuk bab misteri kain putih di dusun buah-buahan yang sebenarnya disangkut oleh pencuri buah-buahan untuk menakutkan pemilik dan penduduk kampung yang lain.

Kesimpulannya, bukan kita mahu menidakkan kewujudan makhluk tersebut (syaitan iblis jin dll), tetapi ada juga beberapa kes yang disalahertikan oleh kita dan tidak kurang juga yang mengambil kesempatan dalam kesempitan. Oleh itu, sebelum kaku pucat satu badan akibat terdengar cerita mistik, selidik terlebih dahulu, jangan mudah percaya sangat. ;)

Saturday, August 23, 2014

Ceritera Kinabalu


Dalam kesamaran pagi yang masih muda
Kinabalu kutenung
cuba meluahkan sejuta rasa
cuba memuntahkan sejuta rahsia
tanda tanya berlegar di jiwa
pelbagai ceritera bermain di minda


Kinabalu
merakamkan kesetiaan seorang isteri
yang awalnya kebahagiaan dikecapi
tiba saatnya sang putera ingin berlayar lagi
ke negara asal dia kembali.

Setelah berbulan-bulan sang suami pergi
khabar berita langsung tidak didengari
kerana cinta dan janji si isteri mendaki
gunung yang tinggi tidak bertepi
kelibat kapal layar diperhati
bertahun lamanya tidak juga kembali.
 

Demi cinta pada sang suami 
anak di rumah mula dilupai
tiba saatnya ajal menjemput sang isteri
kehilangannya menjadi suatu misteri
setelah melakukan misi mencari
jasadnya langsung tidak ditemui.

Kinabalu
kau buka cerita dengan ceria
kau biarkan perasaan terhenti sementara
Kau tersandar penuh dilema
kau tutup cerita dengan penuh derita.

-NFD@FitriFie-

Friday, August 22, 2014

Si Penyapu Rasa


Tika manusia berpusu-pusu
meneguk titisan air
menelan cebisan makanan
kuterlihat sekujur tubuh
kian sarat dimamah usia
tekun mengutip sisa makanan yang ada
tanpa memikirkan banyak mata memandangnya.

Kucuri perhatiannya untuk berbicara
asalnya dari negara seberang sebagai pembuka cerita
impiannya ke Malaysia untuk mengumpul harta
tiba-tiba dia mengurut dada
yang menyembunyikan segala rasa
tetapi daripada riaknya kutahu dia sengsara
siang malam membanting tenaga
demi anak cucu yang tercinta.


Pernah terlintas di hatinya untuk berhenti
melupakan penyapu, mop, dan baldi
tetapi dia perlukan sejumlah gaji
demi memastikan perut anak cucunya terisi.


Ingin kukatakan padanya
“Nenek sepatutnya berehat di rumah
usah berdamping dengan habuk dan sampah
biarkan mereka yang mencari nafkah
kerana jika nenek menutup mata
pastinya mereka terkapai-kapai di pentas dunia
menagih simpati usahanya tiada.”


Jauh di dasar hatiku
kecewa dengan anak cucu
sanggup membiarkannya membersihkan debu
mengabaikan kebajikannya selalu
walhal kutahu mereka lebih daripada mampu
tetapi lebih rela memilih untuk terus kaku.

Kuharap agar suatu hari nanti
mereka tahu tanggungjawab diri
menjauhkannya daripada kerjayanya kini
memberi dirinya kerehatan duniawi
sebelum mengecapi kerehatan yang abadi
dan saat itu kekesalan tidak berguna lagi
tiada satu dapat diulang kembali
untuk diubah menjadi sempurna di mata ilahi.

NFD@FitriFie
5/3/2014