Tuesday, July 10, 2012

Lemah Tidak Bererti Mudah Menyerah


Adakalanya amat menyakitkan hati pabila melihat insan yang lemah dipermainkan oleh insan yang tak bertanggungjawab. Mereka punya akal tetapi mereka tidak memanfaatkannya dengan sebaik mungkin, mempermainkan si lemah seolah-olah mereka sentiasa sempurna..

Ya, mereka punya akal, dapat disimpulkan IQ mereka tinggi tetapi apa gunanya IQ sahaja tinggi jika tidak mampu berfikir dan bertindak secara rasional?

Sanggupkah kita melihat si lemah berterusan terseksa?

Teguran sebegini harus ditekankan berkali-kali, ini bukan biadap, tetapi tegas.

Hal ini bukan sahaja menyentuh soal insan-insan yang kelainan upaya, tetapi juga merujuk kepada insan-insan yang mengalami kesukaran hidup..

Memandangkan saya seorang wanita, lebih mudah untuk saya melihat penderitaan wanita melalui pemerhatian ataupun pembacaan. Lemah ke seorang wanita itu jika membiarkan dirinya dipermainkan semata-mata kerana tak ingin kehilangan cinta?

Lemah ke?

Dalam kes tersebut, ya, memang lemah jika dirinya tak bangkit mempertahankan haknya.. Apa haknya? Hak untuk mendapatkan kejujuran. Kejujuran itu walaupun adakalanya pahit untuk dirasai tetapi lebih baik berbanding merasakan kesakitan akibat kecuaian di masa lampau..

Kita tak boleh bergantung kepada takdir semata-mata, kita harus berusaha mendapatkan perkara terbaik yang mampu mendekatkan kita kepada Allah SWT.

Mungkin melihat lelaki cacat yang meminta sedekah adalah pemandangan biasa bagi kita setiap hari. Pasti banyak persepsi yang terlintas di fikiran si pemerhati. Ada yang merasa simpati lantas menghulurkan wang, ada yang terus berjalan walaupun dipujuk dirayu, ada juga yang ingin menghulurkan bantuan tetapi terlupa membawa wang, tak kurang yang terus melabel lelaki cacat tadi sebagai si cacat yang menyusahkan..

Begitu mudah melabel seseorang dengan gelaran tertentu?

Bagaimana sekiranya lelaki itu adalah diri kita pada masa hadapan? Dilanggar kereta sehingga kudung kedua belah kaki, ditinggalkan keluarga kerana dianggap tidak berguna, tidak punya wang mahupun harta, dijadikan peminta sedekah oleh sindiket-sindiket haram, bagaimanakah perasaan kita?

Pabila berada di atas jangan sesekali lupa memandang ke bawah. Jika diri telah berjaya, lihat diri yang pernah terjatuh dahulu agar tidak angkuh dengan kejayaan. Jika diri telah menjadi insan yang lebih baik, lihat diri yang penuh dengan kejahilan dahulu agar tidak mengulangi kesilapan lampau.

Mereka lemah bukan bererti mereka dengan rela hati ingin kelihatan sedemikian. Lebih tinggi harapan mereka berbanding kita untuk memperbaiki diri. Walau bagaimanapun usaha mereka terbantut kerana kurangnya sifat prihatin kita.

Jika tahu diri mereka dikuasai oleh sindiket haram, laporlah kepada pihak yang berwajib, selamatkan mereka.

Jika si wanita tadi tetap membiarkan dirinya dipermainkan si lelaki, maka hulurkanlah kata-kata yang dekat di hatinya agar dia faham situasi dirinya..

Adakalanya menyalahkan seseorang kerana kesilapan lampau tidak mampu membuka hatinya tetapi lebih menghimpit perasaan kerana mereka menganggap diri mereka tidak bernilai lagi. Mereka cenderung untuk menjauhkan diri dari kebaikan kerana tak ingin dengan mudah dipandang hina atas kesilapan mereka dahulu.

Kita kuat? Tetapi kuatkah lagi kita jika tak mampu membantu saudara sendiri yang sedang lemah tak berdaya?

Selagi kita mampu, bantulah walaupun bantuan kita tidak sebesar mana. Tak usah mengharapkan pujian, berdoalah pertolonganmu adalah pertolongan yang ikhlas disisiNYA..

Semoga kata-kataku ini tidak sia-sia..

Wassalam..

No comments: