Title siap ada unsur-unsur suspen bagai.. Unsolved mysteries ye cik fitri? Buat masa ni encik conan tidak terlibat secara langsung tetapi misteri ini telah diselesaikan. Baiklah, jangan buang masa, meh layan cik akak ni nak cerita bedtime story ni (walaupun bukan pada waktu malam).
Al-kisahnya masa cik fitri kecil dulu ada pelbagai cerita mistik yang menjadi halwa telinganya. Kampung saya tak la kuno sangat, ramai juga anak-anak muda yang berpendidikan dan bekerja, golongan nenek-nenek atuk-atuk pun ramai pesara kerajaan, tetapi cerita-cerita mistik masih terus tersebar meluas.
Kat negeri saya ni penduduk setiap kampung berbilang kaum dan agama, jadi kepercayaan masing-masing berbeza. Pernah ada satu tempoh masa tu orang-orang kat daerah mak ayah saya panggil 'musim panas.'
Time tu memang segala aktiviti pada waktu malam dihentikan; atas alasan malam ialah waktu mereka 'bersiar-siar.'
So creepy kan?
Dijadikan cerita, pernah sekali penduduk kampung gempar sebab ada dua-tiga rumah yang tinggal berjiran telah kehilangan (mati) ayam dengan cara yang paling sadis sekali; ada yang hilang kepala, perut terburai, dan bermacam-macam lagi.
Waktu tu memang semua orang tak berani nak keluar rumah pada waktu malam, anak-anak kecil dimomokkan dengan pelbagai cerita klasik dahulu kala agar mereka tidak berkeliaran selepas maghrib.
Perkara tersebut berlaku selama seminggu, hampir setiap malam ayam-ayam peliharaan mereka menerima nasib yang sama. Penduduk kampung mula tertanya-tanya apa angkara kejadian tersebut, kalau makluk-yang-tidak-perlu-dinyatakan-namanya (cehh, tiru Harry Potter, haha), jenis yang mana satu yang sedang menghantui kampung tersebut.
Walau bagaimanapun, misteri tersebut terungkai di suatu petang yang hening. Petang itu ayam-ayam berkokok dengan bingit sekali. Seperti biasa, ayam akan berkokok panjang jika terasa sesuatu yang mengganggu mereka.Dari kejauhan kelihatan tompokan darah ayam terpalit di rumput dan tanah. Ada seorang pakcik mengambil keputusan untuk menggagahkan dirinya menjejaki 'benda' tersebut berdasarkan tompokan darah yang ada. Menurut pakcik tersebut walaupun dia seorang yang berani, dia tiba-tiba terasa takut apabila terdengar bunyi dengusan di sebalik belukar di hadapannya.
Waktu itu dia tertanya-tanya, "Kalau hantu, apa hantunya yang ada di siang hari?"
Mujur dia tidak pengsan di situ. Belukar yang tenang tadi mulai mendebarkannya apabila 'benda' itu seakan tahu kehadirannya dan cuba untuk melarikan diri. Tiba-tiba pakcik tersebut terlihat kelibatnya. Ya, ia juga makhluk Allah.
'Benda' yang selama ini telah membunuh ayam-ayam di kawasan kejiranan tersebut dan telah menimbulkan huru-hara sebenarnya ialah seekor biawak komodo.
Phewww...
Nak masukkan gambar biawak komodo tadi tetapi cik fitri geli, sekali pandang sebijik macam buaya kot
Kalau nak tahu biodata haiwan tersebut boleh la cari sendiri ye, tetapi haiwan tersebut sememangnya merbahaya untuk haiwan peliharaan kita atas sifat karnivornya, walau bagaimanapun tidak perlu risau kerana setakat ini haiwan tersebut takut terhadap manusia, tak tahu la pula kalau ada kes terpencil melibatkan serangan terhadap manusia, huhu..
Tu baru misteri kematian ayam, belum lagi masuk bab misteri kain putih di dusun buah-buahan yang sebenarnya disangkut oleh pencuri buah-buahan untuk menakutkan pemilik dan penduduk kampung yang lain.
Kesimpulannya, bukan kita mahu menidakkan kewujudan makhluk tersebut (syaitan iblis jin dll), tetapi ada juga beberapa kes yang disalahertikan oleh kita dan tidak kurang juga yang mengambil kesempatan dalam kesempitan. Oleh itu, sebelum kaku pucat satu badan akibat terdengar cerita mistik, selidik terlebih dahulu, jangan mudah percaya sangat. ;)
No comments:
Post a Comment