Assalamualaikum.. Dalam menongkah arus kepesatan dunia, kita sering terleka oleh tipu daya dunia.. Adakalanya kita lebih mengutamakan hal dunia berbanding hal akhirat. Pelbagai impian yang kita inginkan tercapai di dunia.. Manusia dan impian sememangnya tidak dapat dipisahkan. Untuk memperolehi tempat di syurga juga merupakan impian setiap insan. Namun, mampukah kita mengecapi impian tersebut? Hanya Allah SWT yang mengetahui segala-galanya..
Dalam menyusuri liku-liku kehidupan, pastinya kita pernah merasa sakit dan gembira.. Apabila dugaan mendatang, kita mengatakan itu cabaran hidup..
Ketika Allah rindu pada hambaNYA, ia akan mengirimkan sebuah hadiah istimewa melalui malaikat Jibril yang isinya adalah ujian.Dalam hadits qudsi Allah berfirman: “Pergilah pada hambaKU lalu timpakanlah berbagai ujian padanya kerana AKU ingin mendengar rintihannya.” (HR Thabrani dari Abu Umamah)
Cabaran utama dalam hidup kita adalah kemampuan kita untuk menjadi hamba Allah. Adakah kita meniatkan setiap perbuatan kita demi Allah SWT? Cukupkah amalan kita di dunia ini? Adakah amalan kita diterima olehNYA? Allahu alam..
Cinta dan remaja pada masa ini sukar dipisahkan. Perasaan cinta itu fitrah tetapi mampu bertukar menjadi fitnah jika tak ditangani dengan cara yang betul. Setiap manusia mempunyai impian mengenai cinta. Jika cinta itu disalurkan di jalan yang benar, pasti kebahagiaan itu menjadi milikmu. Cinta itu perasaan yang indah.. Cinta padaNYA adalah cinta yang teragung. Cinta pada ibu bapa, keluarga, guru-guru, para sahabat, dan makhluk ciptaan Allah membawa berkat. Namun memadai jika cinta tersebut tidak melebihi cinta kita padaNYA.
Remaja jika tak ada kekasih, 'tak laku' fikirnya.
Namun, tahukah kamu wahai remaja cinta pada kekasihmu yang belum halal bagimu itu mampu mengundang kemurkaanNYA?
Cinta manusia itu indah,
Jika cintaNYA meresap di jiwa,
Cinta manusia itu parah,
Jika cintaNYA tak kau pelihara.
Jika cinta manusia yang kau kejar,
Pinta padaNYA agar kau sedar,
Cinta manusia tak sentiasa mekar,
ingatlah dikau CintaNYA lebih besar.
Saya juga seorang manusia biasa, tak lari daripada fitrah ingin disayangi dan menyayangi. Melalui penulisan saya mengingatkan diri sendiri dan rakan-rakan agar kita tak sesat daripada ajaran Islam.
Hidup di dunia ini mudah jika kita redha dengan setiap ketentuanNYA. Setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya.
Dalam mengejar cinta manusia, terdapat juga segelintir masyarakat yang sibuk mengejar pangkat dan kekayaan dunia. Jika benar caranya, insyaAllah dapat menerima pahala. Bagaimana caranya? Tidak riak dengan pangkat yang dimiliki sebaliknya terus merendah diri disamping memberi bantuan kepada rakan-rakan yang lain. Menyalurkan harta kekayaan ke jalan yang benar. Bersedekah atau memberi dengan keikhlasan hati; bukannya ingin dipuji.
Tidak kurang juga ramai yang sibuk mengejar ilmu.
Ciri ilmu yang berkat menurut Imam al-Ghazali di dalam kitabnya, Bidayatul Hidayah adalah:
Ilmu akan bertambah hebat akibat rasa takut kepada Allah.
Surah al-Faatir, ayat 28 menyebutkan: "Hanya yang takut kepada Allah, adalah ulama." Keluasan ilmu Allah melahirkan manusia yang amat gerun kepada kekuasaan Allah. Dengan ilmunya dia dapat mengetahui apa yang dibenci Allah dan apa yang disukai-Nya. Ini diadun dengan ilmu tentang kehebatan syurga Allah dan seksa neraka yang menjadi formula pembentuk sahsiah ulama pada dirinya. Rasakan getaran hati anda, adakah ia begitu sensitif apabila berhadapan dengan keinginan melakukan dosa dan maksiat kepada Allah? Jika di hati masih tersisa rasa takut kepada Allah, ilmu anda akan sentiasa bermanfaat untuk diri dan orang lain.
Ilmu membentuk sifat tawaduk.
Jika ilmu semakin tinggi, keagungan dan kebesaran Allah menutup segala ego dan kesombongan yang membayangi diri. Tidak sama sekali menganggap orang lain bodoh dan lemah. Kerana sehebat-hebat manusia tidak akan mampu menghadapi ujian yang diberi oleh Yang Maha Mengetahui melainkan dengan pertolongan-Nya. Dengan bekal segulung ijazah itu bolehkah anda menghadapi hari penghisaban dengan selamat? Pakar motivasi sekalipun tidak akan mampu menanggung musibah yang diuji pada dirinya kecuali dengan pertolongan Allah. Sifat tawaduk seperti bintang yang berkilauan. Ilmu pula ibarat purnama. Kedua-duanya amat cantik jika dikembarkan menjadi hiasan peribadi.
Ibadat bertambah nikmat kerana asas ilmu yang kukuh.
Sesungguhnya amal yang diterima memiliki dua syarat iaitu ikhlas dan mengikut sunnah Rasulullah SAW.. Sabda Baginda ketika melihat seorang lelaki yang kurang betul sembahyangnya: "Sembahyanglah kamu seperti aku sembahyang." Kerana itu, apa saja ibadat yang dilakukan wajib bersumber daripada sunnah Rasulullah SAW.. Cubalah mengerjakan ibadat dengan cara khusyuk seperti Rasulullah SAW. khusyuk, berjuang seperti Baginda berjuang, berilmu seperti Baginda berilmu. Ilmu yang menggerakkan amal dan perjuangan untuk Islam.
Ilmu di dada membentuk peribadi khalifah.
Islam mengajarkan konsep kepemimpinan yang berteraskan sifat amanah dan bertanggungjawab. Kalau ilmu anda berkat dan bermanfaat, tentunya kedua-dua sifat ini amat menonjol pada diri anda, tidak kira di rumah, pejabat atau dalam lingkungan masyarakat iaitu anda berdiri sebagai individu yang bermaruah. Seorang guru agama yang mempunyai jiwa khalifah akan mencorakkan umat dengan ilmu dakwahnya. Manakala, seorang guru sentiasa sedia membantu muridnya tidak kira Muslim atau bukan Muslim kerana dorongan amanah yang akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW: "Kamu semua adalah pemimpin dan akan diminta pertanggungjawabannya atas apa yang dipimpinnya." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim) Anda adalah ketua bagi diri anda sendiri, isteri, anak, tempat di mana anda bekerja dan di dalam masyarakat.
Bijak menyembuh penyakit dalam beramal.
Ilmu dan amal memang tidak boleh dipisahkan. Orang yang berilmu tidak akan berpuas hati dengan pencapaiannya. Dia akan sentiasa menimbang, meneliti, mencari-cari akan ketidaksempurnaan diri dan perbuatannya. Penyakit orang berilmu adalah ujub manakala penyakit orang beramal biasanya riak. Imam al-Nawawi memberi garis panduan bagi kedua-duanya. Beliau berkata: "Beramal kerana manusia adalah riak dan meninggalkan amal kerana manusia adalah ujub, ikhlas adalah engkau terlepas daripada kedua-duanya."
Cerdik mengenal dan mematahkan tipu helah syaitan.
Ilmu yang berkat adalah senjata yang paling digeruni oleh syaitan. Umar bin al-Khattab pernah melewati satu lorong kemudian beliau berjumpa Rasulullah SAW., Baginda pun bersabda: "Sesungguhnya syaitan lari daripada laluan Umar, kerana takut kepadanya."
Seorang yang berilmu bijak membentengi dirinya daripada hasutan syaitan dan hawa nafsunya. Ia bagaikan memiliki indera keenam yang mampu mengesan setiap gerakan zahir dan batinnya. Benarkah apa yang dilakukannya atau salahkah jalan yang dilaluinya? Semuanya disebabkan ilmunya yang berkat dan bermanfaat. Ingatlah sabda Rasulullah SAW.: "Manusia yang mendapat azab paling keras pada hari kiamat ialah orang yang tidak mendapat manfaat dari ilmunya." (Hadis riwayat Imam al-Tabrani dan al-Baihaqi)
credit to iluvislam.com
Kata orang, sharing is caring.. :)
Jika tersilap kata, tegurlah saya. Saya sedia menerima teguran anda untuk memperbaik diri ini.. :)
Dalam mengejar cinta manusia,
Adakalanya kita menjadi alpa,
mendekatkan diri padaNYA,
Tetapi sejauhmanakah keikhlasan kita?
Renung-renungkan & Selamat beramal.. :)
Wassalam..
No comments:
Post a Comment