Saturday, July 28, 2012

Si Besar vs Si Kecil


Kehidupan di dunia ini semakin mencabar. Jatuh bangun seseorang bukan lagi berpunca dari dirinya sendiri. Hidup ini bukan semata-mata untuk memperolehi kehidupan yang mewah di dunia. Apa gunanya hidup mewah jika miskin di saat amalan ditimbang kelak?

Jika si kecil ingin menegur si besar, dia harus berfikir berkali-kali, bukan kerana tegurannya tidak relavan, tetapi kerana si besar 'punya kuasa' untuk menjatuhkan si kecil dengan mudah.

Ya, 'kuasa' yang sementara, 'kuasa' yang diamanahkan untuk dirinya di dunia ini.

Bukan mudah untuk jadi si besar, segala tindak-tanduknya diperhatikan oleh semua orang. Dirinya diadili dengan mata kasar. TETAPI jika si besar mampu melaksanakan amanahnya dengan sebaik mungkin, walaupun di dunia si besar tidak mendapat kepercayaan si kecil, insyaAllah keadilan tetap ada untuk si besar.


Si kecil ini dalam mindanya dia inginkan kedamaian; damai daripada gangguan si besar. Dia mengimpikan keinginannya dipenuhi. Oleh kerana si besar dapat memenuhi keinginannya, si kecil meletakkan kepercayaannya agar si besar mampu melaksanakan tanggungjawab dengan amanah. Dia tidak mahu si besar menggunakan dirinya untuk kepentingan peribadi.

Si kecil juga berharap semua yang telah dilakukan si besar diiringi keikhlasan dan niat kerana Allah SWT; bukannya untuk mendapatkan balasan atau kesetiaan si kecil.


Walau apa pun yang terjadi, sedarlah wahai si besar dan si kecil, kamu punya satu persamaan yang jelas, kamu adalah makhluk Allah SWT..

Usah berlebih-lebihan mengejar dunia, utamakan bekalan untuk kehidupan di akhirat. Kehidupan di dunia ini hanya sementara, yang pasti, semuanya akan dihimpunkan dan meninggalkan dunia ini buat selama-lamanya untuk kehidupan yang tiada pengakhirannya di akhirat kelak..

Yang benar dan terbaik itu datangnya dari ALLAH SWT, yang buruk dan salah itu datangnya dari diri saya sendiri..


Wassalam..

No comments: