Tuesday, December 31, 2013

Ahlan Wa Sahlan 2014, Alhamdulillah for 2013


7939 hari berada di muka bumi ini; seakan terlalu panjang perjalanan ini, seperti hari itu akan terhenti pada saat ini. Tetapi, siapa saya untuk mengetahui ketentuan illahi terhadap waktu dan tempat roh ditarik keluar dan jasad saya bakal disemadikan?

21 Tahun 8 Bulan 25 Hari; suatu jangka masa yang panjang. Namun, sampai saat ini, diri ini masih tidak yakin buku amalan di bahu kanan lebih berat ataupun buku kiri yang semakin tebal muka suratnya?

Tahun 2013 mencatatkan banyak perubahan dalam diri cik fitri. Suatu perubahan yang ketara adalah dari seorang yang ingin mengelak untuk menjadi seorang pendidik, berubah menjadi seseorang yang ingin mengubah corak pendidikan negara.



Azam 2013? Usahkan azam 2013, azam tahun-tahun sebelumnya pun pasti ada yang belum tertunai lagi.

Kenapa manusia berazam setiap kali tahun bertambah bilangannya?

Kerana manusia punya niat untuk berubah; seringkali perubahan itu adalah sesuatu yang positif. Cuma mereka meletakkan 'tahun baharu' ini sebagai suatu permulaan bagi perubahan mereka (dalam erti kata lain, mereka punya 365 hari untuk melunaskan azam-azam tersebut).

Azam saya?

Seperti tahun-tahun sebelumnya, azam saya pastinya semakin bertambah bilangannya (kerana azam tahun-tahun lepas tak dapat lagi) dan yang sedia ada diubahsuai untuk membuatkannya kelihatan lebih realistik.

Tahun 2014 juga salah satu tahun di mana saya perlu menggalas beberapa tanggungjawab yang saya rasakan boleh tahan beratnya.

Dalam melaksanakan suatu tugas, 3 tunggak utama yang saya cuba untuk semai dalam diri; amanah, menepati masa, komitmen.

Tentang soal menepati masa, saya sudah sedaya upaya menerapkannya seawal tahun ini. Soal masa, bagi saya satu sahaja, jangan cepat selesa atau ambil mudah tentang suatu urusan.

Contohnya, kita selesa dengan suatu organisasi, kita dah anggap macam keluarga, maka kita pun tak kisah datang lewat sebab kita tahu mereka akan faham yang kita 'sibuk'.

Masa dan disiplin tak dapat dipisahkan. =')


Saya yakin, meskipun pada tahun 2014 (insyaAllah jika panjang umur), iaitu pada usia 22 tahun, saya tetap akan mengutamakan keluarga saya dalam setiap urusan. Saya tak malu memberitahu bahawa parents saya tahu semua aktiviti harian saya (ke mana saya pergi, dengan siapa saya pergi, ada kalanya apa sarapan atau makan malam pun mereka akan tahu).

Budak-budak? Anak mak? Anak ayah?

Siapa kisah? Dahulunya saya pernah rasa "jika beginilah rutin harian saya, sampai bila saya akan dewasa?"

Ternyata saya silap. Ukuran dewasa bukannya tahap kebebasan diri kita, tetapi cara kita mengawal keperluan dan kehendak diri kita. Pernah suatu saat terdetik di hati saya apabila melihat tingkah laku anak-anak (mungkin lebih tua daripada saya) yang mungkin diabaikan oleh ibu bapa mereka, "Mereka punya wang ringgit, tetapi kenapa hati mereka tiada pada orang tua mereka?"

Satu prinsip yang saya pegang sampai bila-bila; saya tak tahu bila saya akan meninggal dunia, sampai bila saya punya kedua ibu bapa dan adik saya. Kalau saat ini saya tak mampu beri kebahagiaan kepada mereka, saya mungkin akan menyesal bila saatnya tiba.


Soal kebebasan dari ibu bapa, saya tidak dikongkong, tidak sama sekali. Cuma mereka mengawasi perjalanan hidup saya.

Tidak cukupkah saya merasa bertuah atas layanan tersebut?

Ramai ibu bapa yang tidak punya masa untuk anaknya.

Baiklah, saya tidak nafikan ada yang mampu berdiri di atas kaki sendiri. Ibu bapa mereka 'melepaskan' dan memberi mereka kebebasan untuk mengatur sendiri halatuju hidup mereka. Ye, itu juga sesuatu yang baik. Mereka tidak diabaikan, tetapi dipercayai oleh ibu bapa mereka.

Adakah itu bermakna cik fitri tidak dipercayai oleh ibu bapanya?

Erm, mungkin. Ibu bapa sentiasa mahukan yang terbaik untuk anaknya. Saya rasa, semua ini akan berakhir jika saya bertukar status; menjadi seorang isteri.


2014? Masih terlalu awal untuk membuat rumusan, namun jika saatnya tiba ataupun jika masanya tak tiba, semua atas ketentuan Allah SWT.


Akhir kata dari saya, sentiasalah istiqamah dalam melakukan kebaikan dan kukuhkan iman di hati untuk meninggalkan segala kejahilan mahupun perkara yang melalaikan. Ingat, dunia hanyalah penempatan sementara kita.

Wassalam.

No comments: