Friday, July 4, 2014

Perginya Dia Bersama Sebuah Harapan


Kisah ini berlaku sewaktu saya kecil, mungkin pada ketika itu saya baru sahaja berumur 4-5 tahun. Pada usia sebegitu, jarang sekali ibu mahupun ayah saya membawa kami dua adik-beradik untuk menziarahi keluarga orang yang meninggal dunia, mungkin bimbang kenakalan kami bakal mengecohkan situasi yang seringkali diselubungi kesedihan dan kedukaan itu.

Walau bagaimanapun, suatu hari, kami dibawa untuk menziarahi jenazah seorang wanita, saya tidak mampu mengingati sama ada wanita itu ialah sahabat ataupun pesakit yang dirawat di wad tempat ibu saya bekerja.

Benar, kanak-kanak sukar untuk memahami erti kesedihan. Meskipun berada di tempat orang, tetapi agak mudah dan cepat untuk saya mesra dengan kanak-kanak lain. Kami mundar-mandir ke sana sini bercerita tentang angan-angan kanak-kanak kecil yang terlalu tinggi melangit.

Tiba-tiba kami terbungkam. Kami dikejutkan dengan kehadiran seorang lelaki yang seawal ketibaannya lagi airmata menghiasi pipi, sedu-sedan menjadi irama di hatinya. Saya mula mencari dan menghampiri ibu saya kerana takut dengan kejadian yang berlaku di hadapan mata kami semua.

Ahli keluarga jenazah satu per satu menghampiri dan memintanya untuk bersabar. Dia masih di situ, masih melutut di hadapan jenazah yang telah sempurna dikafankan.

“Sayang, kenapa nda tunggu abang? Kan abang sudah bagitahu, abang pergi sana untuk cari kerja, cari duit untuk kita kahwin. Kenapa sayang nda tunggu abang? Kan abang sudah janji mahu bawa sayang naik kapal terbang.”
*nda=tidak*

Jujur, di sebalik kesedihannya menuturkan kata-kata tersebut, dalam hati saya tergelak kecil.

‘Bawa naik kapal terbang? Kenapa kapal terbang? Haha.’
Mungkin itu monolog saya ketika itu. Ya, monolog seorang kanak-kanak yang belum mengerti apa-apa.

Tahun demi tahun berlalu, memori tersebut meskipun sedikit demi sedikit mula pudar daripada ingatan saya, tetapi dialog itu tetap melekat di ingatan.

Pagi ini saya berfikir semula; Begitukah sakitnya apabila kehilangan orang yang kita sayang? Begitukah kehampaan yang kita rasakan apabila tidak dapat memenuhi impian yang telah kita idamkan untuk orang yang kita sayang?

Harapan itu seringkali menjanjikan kebahagiaan. Sama ada dalam keadaan sedar mahupun tidak sedar, kita selalu memberi harapan kepada diri sendiri dan orang lain. Bila timbul persoalan tentang harapan, seringkali hati kecil ini seperti terjentik.
‘Jangan mudah memberikan harapan’
‘Jangan mudah meletakkan harapan’
Ya, dua ayat ini selalu menghiasi fikiran saya bila menyentuh tentang isu harapan. Fitrah manusia itu sering berharap pada pelbagai perkara yang diimpikannya. Setiap hari ada sahaja harapan baharu yang kita cipta, tujuannya tidak lain tidak bukan, untuk memberikan semangat untuk masa hadapan.

Harapan=Kegembiraan

Benarkah harapan itu sinonim dengan kegembiraan atau dalam erti kata lain harapan itu menjanjikan kegembiraan untuk pemiliknya? Benarkah apabila kita tidak memperolehi apa yang kita harapkan kita akan merasa sedih?

Jawapan untuk kedua-dua soalan ini ialah YA.

Harapan itu memberikan kegembiraan kerana apabila kita berjaya memperolehinya, kita merasakan kita telah memenuhi impian yang selama ini kita idam-idamkan, dan begitu juga sebaliknya. Harapan ini andai kita kurang pandai bermain dengannya, amat mudah untuk kita tunduk pada dua perasaan tersebut. 

Sewajarnya, apabila kita mencipta suatu harapan, kita perlu meletakkan dua kemungkinan; sama ada dapat ataupun tidak. Bukan bermakna kita tidak yakin akan kehendak dan keupayaan sendiri tetapi kesederhanaan itu perlu ada agar apabila kita tidak memperolehinya, kita tidak akan meratapi mahupun menyalahkan diri sendiri atas kegagalan untuk merealisasikannya.

Apakah harapan yang baharu sahaja kita cipta sejam yang lalu?

Mampukah kita menggapainya?

InsyaAllah dipermudahkan segalanya, Allahumma Amin.

No comments: