Sunday, July 14, 2013

5th Ramadhan: Warkah Cinta


Fitrah ingin dicinta dan mencintai seseorang ada kalanya sukar untuk diurus, apatah lagi timbul perasaan bahagia yang tak sepatutnya dikecapi sebelum perasaan itu menjadi halal buat kita.. Media massa sana-sini mengiklankan keseronokan bercinta, berkasih-sayang pada yang tak selayaknya, bahkan sehingga ada yang menggunakan dalil-dalil al-quran dan as-sunah untuk menjadikannya kelihatan islamik..

Mana silapnya?


Proses kearah menjadi seorang dewasa sememangnya banyak cabaran yang harus dihadapi.. Cabaran ini menjadikan kita dewasa seiring meningkatkan kematangan dalam diri. Namun, apabila tersilap langkah, agak mudah hati menjadi rapuh dan dengan mudah juga nafsu tunduk pada godaan dunia.

Cinta?

Salahkah perasaan cinta itu wujud?


Tidak salah andai perasaan itu diberikan pada yang selayaknya.. Wajarkah kita menyerahkan hati dan perasaan kita pada yang belum tentu menjadi milik kita?

Seandainya segala kasih sayang dicurahkan pada orang yang kita kasihi dan dia bukan bakal zauj/zaujah kita, tidakkah kita kasihan pada bakal zauj/zaujah kita?

Pastinya setiap saat bersamanya diselaputi dengan kenangan bersama dengan insan lain. Besar kemungkinan membanding-banding bakal berlaku..

Adilkah kita?


Proses untuk mendapatkan yang terbaik bukan bermula dengan mencari yang terbaik, tetapi dimulakan dengan mengubah diri menjadi yang terbaik terlebih dahulu..

Sukar?

Sememangnya perjuangan untuk memperolehi yang terbaik itu tidak semudah yang kau bayangkan..

Pernah tersilap langkah?

Jangan ulanginya sekali lagi. Ubahlah diri menjadi yang lebih baik. Kekurangan menjadikan kita meletakkan pengharapan yang tinggi padaNYA. Kekurangan bukan bermakna kita harus akur pada kelemahan, tetapi perlu diubah menjadi sumber inspirasi untuk membina potensi diri.

Setiap insan punya kelebihan tersendiri, ada yang sudah ketemu, tetapi angkuh dengan keistimewaan diri, ada yang hampir-hampir ketemu, tetapi putus harapan di tengah-tengah jalan, ada yang sedang berusaha sehabis baik sehingga berjaya menemuinya, walau bagaimanapun, rugilah golongan yang menggunakan konsep 'pasrah dan redha', tanpa ikhtiar dan doa, mereka tidak mencari sebaliknya terus menanti..


Tidak kiralah sama ada dugaan cinta mahupun pelajaran, kerja dan sebagainya, masih belum terlambat untuk kita mencorak langkah kearah pembaharuan dan penambahbaikan atas segala kesilapan lalu yang pernah kita lakukan..

Berubah tidak mudah, bermujahadahlah, andai tersungkur, bangun kembali, pastinya ada hikmah disebalik ujian tersebut dan pabila dirimu berada di atas, tunduklah ke bawah. Bimbang seandainya kedudukanmu itu sebenarnya ujian dariNYA.

Perjalanan kita di muka bumi ini tidak mampu untuk dijangka, bila-bila masa sahaja ajal mampu menjemput dan saat itu tiada apa lagi yang dapat kita lakukan..

Sebelum terlambat, berubahlah..


Sesungguhnya tangan yang memberi lebih baik daripada tangan yang menerima. Walau bagaimanapun, itu tidak bermakna kau harus memandang rendah pada mereka. Percayalah apa yang kau berikan itu sebenarnya hak mereka..

Andai tidak mampu memberi wang, makanan, pakaian, kongsikanlah ilmu dengan sesiapa sahaja..

Moga dihindari perasaan angkuh dan bangga diri, apatah lagi pujian yang mampu mematahkan potensi diri, amin..

Wassalam..

No comments: