Hari istimewa; suatu hari di mana kita mendapat perhatian dan layanan yang lebih kerana meraikan sesuatu yang bermakna seperti hari ulangtahun kelahiran dan mendapat keputusan yang cemerlang di dalam peperiksaan.
Sambutan hari istimewa ini berbeza menurut pandangan dan penerimaan masing-masing. Ada yang menyambutnya secara besar-besaran, sederhana, bahkan tidak kurang yang langsung tidak meraikannya.
Pandangan peribadi?
Saya memilih kesederhanaan; ada ketika saya meraikannya dan ada ketikanya saya memandangnya ringan.
Ketika kecil dahulu, saya sering merasakan hari ulangtahun kelahiran perlu disambut secara besar-besaran. Melihat orang ramai mengelilingi kita, menyanyikan lagu 'Happy Birthday' untuk kita, seperti suatu kewajipan yang mampu memberikan stok senyuman selama seminggu (suatu tempoh masa di mana kita masih mengulang tayang segala memori yang berlaku pada hari kejadian).
Segalanya berubah apabila sambutan ulangtahun yang seringkali diadakan di rumah mahupun ketika berkumpul dengan saudara-mara di kampung bertukar menjadi sambutan yang kecil di kantin sekolah; ya, kecil kerana saya hanya menjemput sahabat terdekat saya sahaja.
Pada usia 12 tahun, ketika meniup lilin, seperti ada suatu kekurangan yang mengetuk hati saya. Di saat saya bergembira dengan rakan-rakan baik, ada mata yang memandang dengan pandangan yang berbeza. Saat itu saya terfikir, "Jika benar saya ingin meraikan hari yang bahagia ini, kenapa saya tidak meraikannya dengan semua? Kenapa saya perlu membiarkan perbuatan saya kelihatan seperti menunjuk-nunjuk pada yang lain?".
Apabila usia saya kian meningkat, sambutan ulangtahun kelahiran tidak lagi menjadi keutamaan saya. Cukup kami meraikannya tanpa hadiah, tanpa kek, tetapi ibu bapa seringkali ingin memberikan yang terbaik untuk anak-anak mereka. Pada hari berkenaan, kami akan menikmati juadah yang sedikit istimewa berbanding hari-hari biasa.
Melewati usia 17 tahun dan sehingga kini, apabila beban kerja ibu bapa bertambah, ada ketikanya mereka terlupa hari berkenaan. Saya yang mula memahami ianya bukan suatu yang teramat istimewa tidak sedikit pun kecil hati sehingga saya pula yang segan apabila ibu bapa saya merasa bersalah akibat terlupa hari berkenaan.
Sambutan ulangtahun kelahiran kedua ibu bapa saya?
Ya, seperti biasa, kami meraikannya tanpa kek; umpamanya kek hanya untuk budak-budak. Kami lebih selesa meluangkan masa pada hari berkenaan menikmati juadah semampu kami, tidak kurang juga melakukan sebarang aktiviti bersama-sama.
Hari ibu? Hari bapa?
Saya seorang yang percaya tiada suatu hari yang khusus untuk meraikan mereka, saya percaya setiap hari ialah hari ibu, hari bapa. Saya berpendapat jika kita mengkhususkan satu hari tertentu untuk meraikan mereka, pastinya layanan kita hanya akan terlebih pada hari berkenaan, tetapi hari-hari lain sama sahaja. Mengapa tidak kita berikan layanan istimewa setiap hari? Mengapa perlu menanti hari yang hanya tiba setahun sekali?
Tambahan pula ianya ialah sambutan yang diilhamkan oleh agama lain yang punya nilai dan pandangan tersendiri terhadap hari berkenaan. Ada yang berpendapat, lupakan sejarah silam kewujudan hari berkenaan, niat kita hanya untuk meraikan ibu bapa kita. Malangnya tidak mudah bagi saya memadam segalanya.
Saya tetap percaya kita tidak perlu hari khusus untuk meraikan mereka, jika mahu, pilih hari kelahiran ataupun hari ulangtahun pernikahan mereka. Kita perlu meraikan mereka setiap hari; selagi masih mampu melihat, mendengar suara mereka, gunakan masa yang ada sebelum terlambat.
Walaupun saya memandang sipi terhadap sambutan hari ulangtahun, saya seorang yang peka terhadap hari lahir ahli keluarga dan rakan-rakan terdekat. Bagi saya cukup mengungkapkan doa dan mengingatkan mereka tentang pertambahan umur sejajar dengan pertambahan tanggungjawab mereka terhadap pelbagai perkara.
Jika saya terlupa, itu maknanya hari-hari saya dipenuhi dengan assignment dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan.
Wassalam.
No comments:
Post a Comment